fbpx

Trend culik bayi di pasar raya di Afrika semakin meningkat

TANGKAP layar rakaman menunjukkan bayi itu diculik dari troli lalu dilarikan oleh wanita berkenaan. - AGENSI

JOHANNESBURG: Satu video memaparkan seorang wanita menculik bayi dari troli beli-belah tanpa disedari ibu bapa anak kecil itu yang sedang membeli barang di sebuah pasar raya di Afrika Selatan, tular dalam media sosial.

Lapor Daily Mail, kejadian itu berlaku selepas kes penculikan yang hampir serupa dilaporkan kira-kira dua minggu lalu.

Dalam rakaman itu, wanita dalam lingkungan usia 50-an dilihat berjalan selamba seolah-olah mahu membeli barang di lorong bahagian produk makanan sejuk beku di sebuah pasar raya di Port Elizabeth.

“Namun, apabila wanita itu semakin menghampiri troli milik ibu bapa bayi itu, dia serta merta mengambil anak kecil itu.

“Dalam sekelip mata sahaja, bayi itu dibawa keluar dari troli berkenaan lalu dipeluk dan dilarikan oleh wanita tersebut,” jelas laporan itu.

Pasangan itu kemudian menyedari anak perempuannya hilang apabila mereka mahu meletakkan barang dalam troli.

Mereka menjerit kuat meminta tolong dan berlari sekeliling untuk mencari anak yang hilang.

“Bapa bayi itu berlari ke arah pintu depan pasar raya dan memaklumkan kepada pengawal keselamatan anaknya diculik dan meminta mereka menutup pintu tersebut.

“Akibat gagal melepaskan diri, suspek mengaku bayi pasangan itu sudah diambil oleh rakannya dan mendakwa seluruh kejadian itu adalah gurauan semata-matanya,” jelas laporan itu.

Bayi itu dipulangkan kepada ibu bapanya dan pengawal keselamatan melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Kedua-dua wanita itu kini ditahan polis atas dakwaan cubaan menculik.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN