BANGKOK: Bermula bulan depan, Thailand memutuskan untuk mengklasifikasikan pandemik Covid-19 sebagai endemik.
Langkah yang menandakan peralihan besar dalam usaha negara menuju normalisasi dibuat selepas pihak berkuasa mengambil kira perkembangan penyakit itu di peringkat global.
Bangkok Post melaporkan Covid-19 akan diklasifikasikan sebagai ‘penyakit berjangkit di bawah pengawasan’ daripada ‘penyakit berjangkit berbahaya’ semasa, berkuat kuasa 1 Oktober depan.
Keputusan peralihan itu dibuat selepas Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan meluluskan cadangan itu, Rabu lalu.
Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, situasi Covid-19 global bertambah baik berdasarkan penurunan jangkitan dan kematian, dengan kadar populasi yang diberi vaksin tinggi menyumbang kepada penambahbaikan.
Jelasnya, pihak kementerian sedang mengisytiharkan peralihan di bawah undang-undang penyakit berjangkit yang diwartakan dan berkuatkuasa pada awal bulan ini.
“Rangka kerja pelan tindakan kementerian termasuk pengawasan dan langkah pencegahan, komunikasi risiko serta rawatan perubatan dan langkah lain mengawal penyakit itu.
“Ia juga merangkumi aspek pengurusan sosial, perundangan dan ekonomi.
“Pelan tindakan itu akan dimajukan tidak lama lagi untuk kelulusan Kabinet dan setiap wilayah mesti menyediakan rancangan sendiri di bawah rangka kerja utama.
“Setiap wilayah di negara ini juga mesti memantau dengan teliti situasi Covid-19 serta menangani sebarang kemungkinan wabak mengikut pelan tindakan,” jelasnya.