HANOI: Gara-gara membuat parodi aksi chef selebriti Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, seorang penjual mi di Vietnam menanggung padah apabila dia ditahan kerana propaganda antinegara.
Bui Tuan Lam, 38, berkongsi rakaman video terbabit tahun lalu dan kebanyakan pengguna media sosial melihat ia sebagai satu sindiran kepada menteri kerajaan yang menikmati stik bersalut emas 24 karat berharga AS$1,725 (RM7,759).
Harga menu itu bagaimanapun mencetuskan kritikan banyak pihak berikutan penduduk di Hanoi kebanyakannya hidup dalam kemiskinan.
Selain itu, pengguna media sosial juga mempertikaikan harga stik terbabit yang didakwa jauh lebih mahal berbanding gaji bulanan yang diterima menteri antara AS$600 (RM2,698) dan AS$800 (RM3,598).
Parodi ‘Green Onion Bae’ itu dimuat naik beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Awam, Jeneral To Lam menjamu selera hidangan mewah terbabit di sebuah restoran di London.
Isteri Tuan Lam mengesahkan suaminya diberkas pihak berkuasa minggu lalu, malah pihak berkuasa turut kembali semula untuk menggeledah rumah mereka.
“Kami telah bersedia dengan hukuman yang bakal dikenakan sejak Tuan Lam dipanggil polis pada November tahun lalu,” kata isterinya.
Difahamkan, Tuan Lam ditahan di bawah Artikel 117, satu klausa yang menetapkan tindakan mengeluarkan atau menyebarkan maklumat yang menentang kerajaan sebagai perbuatan jenayah.
Menurut polis, mereka telah berulang kali memberi amaran kepada Tuan Lam supaya tidak menyiarkan kandungan yang menghina kehormatan dan reputasi pemimpin.