WASHINGTON: Seorang terbunuh dan sembilan lagi penumpang hilang apabila sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan pantai di Washington, semalam.
Menurut Pengawal Pantai Washington, mereka menerima laporan mengenai nahas tersebut pada pukul 3.11 petang dan mengerahkan helikopter serta bot ke lokasi kejadian.
“Seorang penumpang yang maut ditemukan di lokasi kejadian, manakala sembilan lagi hilang.
“Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan dalam siasatan,” jelas pihak berkuasa itu menerusi kenyataan.
Pesawat berkenaan terhempas semasa terbang merentasi Lautan Pasifik untuk perjalanan ke Lapangan Terbang Renton berhampiran Seattle.
laman web Flight Radar 24 memaklumkan, pesawat Haviiland Canada DHC-3 Otter mengeluarkan isyarat terakhir pada pukul 3.08 petang pada ketinggian 100 kaki.
Pihak berkuasa pada mulanya memaklumkan, maklumat awal mendapati pesawat itu dinaiki lapan dewasa dan seorang kanak-kanak, sebelum mengemas kini makluman bahawa mereka mencari 10 penumpang. – AFP