JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akhirnya mengumumkan kenaikan harga bahan bakar minyak (BBM) bagi Pertalite, Solar dan Pertamax.
Lapor Kompas.com, harga baharu BBM bersubsidi dan bukan subsidi berkuatkuasa pada pukul 2.30 petang (waktu tempatan), hari ini.
“Saat ini pemerintah membuat keputusan dalam situasi yang sulit.
“Ini adalah pilihan terakhir kerajaan iaitu mengalihkan subsidi BBM sehingga harga beberapa jenis BBM akan mengalami penyesuaian,” katanya di Istana Merdeka.
Semalam, pihak kerajaan bersetuju menangguhkan dahulu kenaikan harga BBM dan masih membuat perhitungan selepas mendapat bantahan kuat daripada golongan pekerja dan mahasiswa yang berdemonstrasi.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawani berkata, subsidi tenaga dan belanjawan pampasan akan kembali membengkak sebanyak 198 trilion rupiah jika tiada kenaikan harga bahan bakar Pertalite dan Solar.
Jelasnya, bajet subsidi dan pampasan tenaga semasa untuk 2022 ditetapkan pada 502.4 trilion rupiah.
“Angka ini meningkat kepada 349.9 trilion rupiah daripada anggaran asal 152.1 trilion rupiah bagi mengekang kenaikan harga tenaga dalam masyarakat,” katanya.
Berikut merupakan harga BBM baharu:
*Pertalite: 10,000 rupiah seliter (harga lama 7,650 rupiah)
*Solar subsidi 6,800 rupiah seliter (harga lama 5,150 seliter)
*Pertamax 14,500 seliter (harga lama 12,500 seliter)