LONDON: Perdana Menteri Britain baharu, Liz Truss dilihat seolah-olah membalas dendam terhadap ahli menyokong pesaingnya, Rishi Sunak dengan menyingkirkan setiap penyokong tegar pemimpin itu daripada senarai barisan Kabinetnya.
Truss bertindak demikian beberapa jam selepas berikrar untuk membentuk Britain menjadi `negara aspirasi’ ketika menangani krisis ekonomi terburuk yang melanda negara itu.
Lapor Daily Mail, Dominic Raab merupakan antara yang pertama tampil mendedahkan nasibnya selepas mengesahkan disingkirkan daripada jawatan Setiausaha Keadilan dan Timbalan Perdana Menteri.
Sebaliknya, Downing Street mengumumkan pelantikan penyokong setia Truss, Therese Coffey sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu menggantikan Raab.
Coffey juga dilantik sebagai Setiausaha Kesihatan.
Truss mengumumkan barisan kepimpinan tertinggi Kabinetnya dengan menamakan Kwasi Kwarteng sebagai Menteri Kewangan, James Cleverly (Setiausaha Luar) dan Suella Braverman (Menteri Dalam Negeri).
Ia sekali gus menyaksikan buat julung kalinya, tiada lelaki berkulit putih dilantik menyandang mana-mana jawatan tertinggi itu.
Ben Wallace kekal sebagai Setiausaha Pertahanan manakala Brandon Lewis pula dilantik sebagai Setiausaha Keadilan.
“Penyokong setia kepada Boris Johnson iaitu Jacob Rees Mogg pula dilantik sebagai Setiausaha Ekonomi.
“Kemi Badenoch dinamakan sebagai Setiausaha Perdagangan Antarabangsa manakala Kit Malthouse pula menjadi Setiausaha Pendidikan,” jelas laporan itu.
Sementara itu, penyokong pasukan Rishi antaranya Grant Shapps, Steve Barclay, George Eustice dan Shailesh Vara juga masing-masing disingkirkan daripada jawatan Setiausaha Pengangkutan, Setiausaha Kesihatan, Setiausaha Alam Sekitar serta Setiausaha Ireland Utara.
Pengerusi Parti Tory, Andrew Stephenson dan setiausaha parti, Greg Clark dilaporkan meninggalkan jawatan mereka.
Menteri veteran, Johnny Mercer berkata, beliau `dilepaskan’ daripada melakukan semua tugasan hariannya.