Ratu Elizabeth pecah pelbagai rekod sepanjang pemerintahan - Utusan Malaysia

Ratu Elizabeth pecah pelbagai rekod sepanjang pemerintahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ratu Elizabeth II mencatatkan beberapa pencapaian penting sepanjang rekod pemerintahannya selama 70 tahun di atas takhta.

Baginda memerintah selama 70 tahun empat bulan, lebih lama daripada mana-mana Raja lain dalam sejarah Britain.

Rekod terdahulu dipegang oleh moyangnya, iaitu permaisuri Victoria, yang memerintah selama 63 tahun, tujuh bulan dan dua hari sehingga 1901.

Sehingga kemangkatannya pada di usia 96 tahun, Ratu Elizabeth adalah ketua negara tertua di dunia.

Hanya dua Raja yang sebelum ini memerintah lebih lama iaitu raja Louis XIV dari Perancis, lebih daripada 72 tahun antara 1643 dan 1715 dan Raja Bhumibol Adulyadej dari Thailand, 70 tahun empat bulan sehingga kemangkatannya pada Oktober 2016.

Ratu Elizabeth mengembara ke lebih 100 negara sejak 1952, satu lagi rekod untuk monarki Britain dan lebih 150 kunjungan ke negara Komanwel.

Baginda mengunjungi Kanada sebanyak 22 kali, melebihi negara lain manakala di Eropah, baginda paling banyak mengunjungi Perancis iaitu 13 kali dan boleh bertutur dalam bahasa Perancis.

Pengembaraan Ratu Elizabeth adalah bersamaan 42 kali mengelilingi dunia, sebelum berhenti melancong ke luar negara pada November 2015 pada usia 89 tahun.

Perjalanan ke luar negara Ratu Elizabeth yang terpanjang adalah selama 168 hari bermula November 1953 hingga Mei 1954, ketika melawat 13 negara.

Sebagai seorang puteri berusia 21 tahun, Ratu Elizabeth berikrar akan mengabdikan seluruh hidupnya untuk berkhidmat kepada Komanwel.

Sebagai Ratu, baginda menjalankan 21,000 komitmen, memberikan perkenan diraja kepada 4,000 undang-undang dan menerima 112 lawatan monarki dan ketua negara asing.

Baginda menerima kunjungan Maharaja Haile Selassie dari Ethiopia (1954), Maharaja Hirohito, Jepun (1971), Presiden Lech Walesa, Poland (1991) dan Presiden Barack Obama (2011).

Lebih 180 pesta taman dianjurkan di Istana Buckingham, yang dihadiri lebih 1.5 juta orang.

Sejumlah 15 Perdana Menteri berkhidmat di bawah baginda. Yang pertama adalah Winston Churchill (1952-1955) dan terakhir, Liz Truss, yang dilantik Selasa lalu.

Baginda mengadakan perjumpaan tertutup dengan Perdana Menteri, kebiasaannya di Istana Buckingham pada setiap minggu.

Ratu Elizabeth II berjumpa dengan 13 daripada 14 Presiden Amerika Syarikat (AS) sebelum ini kecuali Lyndon B Johnson. Pengunjung terakhir dari Rumah Putih adalah Joe Biden pada 2021.

Ratu ialah gabenor tertinggi Gereja England, jawatan yang wujud sejak terciptanya gereja di bawah Raja Henry VIII pada abad ke-16.

Baginda bertemu empat paus dalam lawatan rasmi iaitu John XXIII (1961), John Paul II (1980, 1982 dan 2000), Benedict XVI (2010) dan Francis I (2014).

Ratu menghantar kira-kira 300,000 kad ucapan tahniah kepada mereka yang berusia 100 tahun dan lebih daripada 900,000 kepada pasangan yang meraikan 60 tahun perkahwinan.

Baginda berkahwin selama 73 tahun, satu lagi rekod untuk monarki Britain dan suaminya, Putera Philip, meninggal dunia pada usia 99 tahun April tahun lalu.

Ratu Elizabeth bergambar untuk lebih 200 potret sejak berusia tujuh tahun, kebanyakannya dilukis dalam gaya tradisional.

Pada tahun 1996, Ratu menjadi monarki Britain pertama melawat tanah besar China.

Baginda juga yang pertama berucap di Dewan Perwakilan Rakyat di Washington.

Ratu Elizabeth menghantar e-mel pertamanya pada 26 Mac 1976 ketika lawatan ke kemudahan penyelidikan Kementerian Pertahanan.

Pada tahun 1997, baginda melancarkan laman sesawang Istana Buckingham dan pada tahun 2014 menghantar tweet pertamanya. Tiga tahun lalu, Ratu Elizabeth membuat penampilan pertamanya di Instagram.

Ratu Elizabeth adalah satu-satunya monarki yang melompat keluar dari helikopter bersama James Bond dan menggunakan payung terjun ke upacara pembukaan Sukan Olimpik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN