TEHRAN: Presiden Iran yang berangkat ke New York hari ini bagi menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tidak berhasrat untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Ebrahim Raisi berkata, beliau tidak mempunyai rancangan tersebut kerana menyifatkan AS sebagai tidak boleh dipercayai dan menuntut jaminan Washington tidak akan menarik diri daripada sebuah perjanjian nuklear seperti yang dilakukan bekas Presiden AS, Donald Trump pada 2018.
“Tiada rancangan untuk mengadakan pertemuan atau rundingan dengan pemimpin AS,” katanya sebelum berlepas di Lapangan Terbang Tehran, hari ini.
Ini bermakna, rundingan menghidupkan semula perjanjian nuklear antara Iran dengan kuasa-kuasa besar dunia lain masih tergantung sehingga sekarang.
Ebrahim diiringi Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian dan perunding nuklear, Ali Bagheri Kani.
Beliau akan berucap di kedua-dua majlis di UNGA dan mesyuarat UNESCO berhubung isu agama.
Iran dan AS tidak menjalin hubungan diplomatik sejak pengambilalihan Kedutaan AS pada 1979 oleh golongan pelajar di Tehran.-AP