BANGKOK: Seorang pemandu pikap di wilayah Chiang Rai menerima pujian kerana melekat makanan ringan dan pelitup muka pada luar permukaan kenderaannya bagi membolehkan orang ramai mengambilnya secara percuma.
Satu video memaparkan sebuah pikap berwarna putih yang dihiasi dengan pelbagai pek makanan ringan dan pelitup muka, menjadi tular dalam aplikasi TikTok.
Lapor thethaiger.com, rakaman video itu dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok, wetchayany.
Malah, terdapat papan tanda kertas tertera `sila ambil ini secara percuma’ yang dilekatkan bersama pek makanan ringan dan pelitup muka di kenderaan itu.
Dalam video tersebut, kenderaan itu kelihatan sedang menunggu di sebuah lampu isyarat sehingga bertukar hijau.
Ketika itu, dua kanak-kanak sempat menghampiri kenderaan tersebut lalu mengambil beberapa pek makanan ringan kegemaran mereka dan mengucapkan terima kasih kepada pemandunya.
Ramai warganet di Thailand memuji sikap pemandu yang murah hati termasuk ada antara mereka yang menyifatkannya sebagai idea bijak.
“Ia merupakan idea yang bagus dan saya amat gembira menonton video seperti ini,” kata seorang pengguna media sosial.