NEW YORK: Serangan pandemik Covid-19 yang melanda dunia turut menjejaskan pementasan Phantom of the Opera di Broadway yang sudah dipersembahkan selama 35 tahun.
Walaupun dibuka semula pasca wabak itu, anggaran kasar box office juga dilaporkan tidak stabil selepas bilangan penonton kian berkurangan dan kerugian AS$ sejuta (RM4 juta) sebulan.
Sejak mula dipentaskan pada 26 Januari 1988, teater muzikal itu ditayangkan lebih 13,500 kali dan ditonton lebih 19 juta orang dengan kutipan AS$1.3 bilion (RM5.2 bilion).
Teater muzikal itu juga sudah dipersembahkan di hadapan 145 juta penonton di 41 negara dalam 17 bahasa.
Phantom of the Opera sudah memenangi tujuh Anugerah Tony termasuk muzikal terbaik.
Ia merupakan pementasan muzikal yang mahal untuk dikekalkan dengan set dan kostum yang rumit serta pelakon dan orkestra yang besar.
Pementasan itu juga menjadi sumber pekerjaan terbesar Broadway dalam sejarah dengan melibatkan kira-kira 6,500 petugas semasa tayangannya.
Walaupun pementasan di Broadway akan berakhir, ia masih diteruskan di lokasi lain.
Penerbit, Cameron Mackintosh menerusi kenyataan memaklumkan naskhah Andrew Lloyd Webber itu akan dipentaskan buat kali terakhir pada 18 Februari 2023.
“Sebagai penerbit British, ia adalah satu penghormatan yang tiada tandingan untuk mempersembahkan muzikal yang paling lama dipentaskan dalam sejarah Broadway.
“Fakta mengenai Phantom of the Opera yang dipentaskan di New York selama hampir 35 tahun adalah sangat mengejutkan saya,” katanya.
Teater muzikal itu mengisahkan ‘phantom’ yang menghantui Rumah Opera di Paris dan jatuh cinta dengan penyanyi soprano muda, Christine.