GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menemukan bukti China melakukan ‘penghapusan etnik Uighur’, namun berjaya memperoleh bukti Beijing menindas penduduk minoriti Islam.
Laporan yang ditunggu sejak sekian lama itu memperincikan rentetan pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang.
Dakwaan mengenai penyeksaan yang boleh dipercayai dan kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan benar-benar berlaku.
Bagaimanapun, laporan itu tidak merujuk kepada insiden pembunuhan beramai-ramai seperti yang didakwa oleh Amerika Syarikat dan pengkritik lain.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet memutuskan penilaian penuh diperlukan terhadap keadaan di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR).
Menerusi dapatan itu, Bachelet menegaskan dunia mesti memberi ‘perhatian segera’ terhadap situasi hak asasi manusia di Xinjiang.
“Penilaian itu dibuat bagi menjawab dakwaan mengenai layanan China terhadap penduduk di Xinjiang yang dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia, negara Barat serta masyarakat Uighur yang hidup dalam buangan.
“Penahanan etnik Uighur sewenang-wenangnya dan diskriminasi terhadap mereka mungkin merupakan jenayah antarabangsa yang melibatkan jenayah kemanusiaan,” jelasnya.
Menurut Bachelet, laporan itu dibuat selama setahun dan ditentang keras oleh kerajaan China.
Beliau bertekad untuk menyiarkan laporan itu sebelum penggal empat tahunnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi hak asasi manusia berakhir bulan ini.
JENAYAH TERANCANG
Sejak bertahun-tahun, China dituduh menahan lebih sejuta penduduk Uighur dan komuniti Islam lain di wilayah itu.
Bagaimanapun, Beijing tetap menafikan tuduhan itu dan menegaskan pihaknya membina pusat vokasional untuk menangkis fahaman ekstremisme.
“Pelanggaran hak asasi manusia yang serius dilakukan di XUAR dalam konteks penerapan strategi memerangi keganasan dan menentang ekstremisme kerajaan,” tulis laporan itu.
Penilaian itu menimbulkan kebimbangan mengenai layanan terhadap individu di Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional (VETC).
“Tuduhan mengenai corak penyeksaan atau layanan buruk, termasuk rawatan perubatan secara paksaan boleh dipercayai. Begitu juga dakwaan insiden keganasan seksual dan jantina terhadap mereka.
“China juga dituduh melakukan pensterilan paksa terhadap wanita serta terdapat petunjuk boleh dipercayai tentang pencabulan hak reproduktif melalui penguatkuasaan dasar perancangan keluarga,” katanya.
Namun begitu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB tidak dapat mengesahkan bilangan individu yang terjejas di VETC dan membuat kesimpulan sistem itu beroperasi secara ‘skala luas’ di seluruh rantau.
Pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis kemanusiaan berkata, laporan itu perlu menjadi landasan untuk tindakan selanjutnya diambil terhadap China.
CHINA KECAM
Duta China di Geneva mengecam dan membantah penyiaran laporan itu.
Laporan tersebut jelasnya berdasarkan maklumat yang salah dan pembohongan yang direka-reka oleh pasukan anti-China.
“Penilaian itu memutar belit undang-undang dan dasar China, memburuk-burukkan, memfitnah serta mencampuri urusan dalaman negara kami.
“Rakyat dari semua kumpulan etnik di Xinjiang menjalani kehidupan bahagia, aman dan harmoni. Ia adalah perlindungan hak asasi manusia yang paling hebat dan terbaik,” katanya.










