LONDON: Dua pegawai polis ditikam seorang lelaki di tengah London menjelang upacara persemadian ratu Elizabeth II yang dijangka berlangsung Isnin depan.
Menurut polis, suspek berjaya ditahan dan akan disiasat berhubung kes berkenaan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar Dataran Leicester yang terletak berhampiran Westminster Abbey.
Kedua-dua anggota polis itu kini menerima rawatan di hospital dan pihak berkuasa tidak mengaitkan insiden berkenaan dengan kegiatan keganasan.
Ribuan polis dari seluruh negara ditempatkan di London, manakala 1,500 anggota tentera juga dikerahkan bagi mengawal kesesakan dan keselamatan orang ramai yang berkumpul untuk menyaksikan upacara berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Bandar London, Sadiq Khan menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘tidak sewajarnya berlaku’. – AFP