Menerusi pentas UNGA, dunia 'berjemaah' kutuk Russia, Vladimir Putin

Menerusi pentas UNGA, dunia ‘berjemaah’ kutuk Russia, Vladimir Putin

RAKAMAN video Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Russia bakal berdepan tekanan langsung pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) berhubung tindakan pencerobohan negara itu di Ukraine.

Ia berikutan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky merayu kepada pemimpin dunia untuk menghukum Moscow.

Ketika pemimpin dunia bersidang di UNGA, Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan sesi khas dalam kalangan menteri-menteri luar mengenai isu pencabulan hak di Ukraine.

Pada sesi itu, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov bakal bertemu dengan beberapa diplomat Barat terkemuka termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken yang enggan mengadakan pertemuan secara bersemuka sejak pencerobohan pada 24 Februari lalu .

UNGA kali ini diadakan secara bersemuka selepas dua tahun akibat pandemik Covid-19, dengan hanya seorang pemimpin masih dibenarkan berucap menerusi video iaitu Zelensky.

Dalam video prarakaman, Zelensky berulang kali menggesa ‘hukuman’ dikenakan ke atas Russia sekaligus menerima tepukan gemuruh yang jarang berlaku dalam kalangan diplomat.

“Ukraine menuntut hukuman dikenakan kerana cuba mencuri wilayah kami, hukuman untuk pembunuhan ribuan orang, hukuman ke atas penyeksaan dan penghinaan terhadap wanita dan lelaki,” katanya.

Zelensky juga menggesa tribunal khas ditubuhkan bagi mempertanggungjawabkan Russia, dengan menyifatkan tribunal itu akan menjadi amaran kepada semua ‘bakal penceroboh’.

Beliau turut menuntut dana pampasan, sambil menegaskan Russia ‘harus membayar untuk peperangan ini dengan asetnya sendiri’.

Zelensky menyampaikan ucapan itu beberapa jam selepas Presiden Russia, Vladimir Putin menggerakkan pasukan tentera simpanan untuk bertempur di Ukraine.

Malah, Putin juga memberi amaran untuk tidak teragak-agak menggunakan senjata nuklear sekali gus menunjukkan pemimpin itu tidak mungkin menamatkan perang dalam masa terdekat.

Zelensky memaklumkan rundingan segera tidak membawa sebarang manfaat dan mendakwa Russia hanya menggunakan diplomasi untuk melengah-lengahkan masa di medan perang.

Russia takut dengan rundingan sebenar dan tidak mahu memenuhi sebarang kewajipan antarabangsa yang adil.

“Ia berlaku kepada semua orang, seperti biasa bagi penceroboh, bagi pengganas,” katanya.

TEKANAN DARI BARAT, EROPAH

Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat tergempar di New York yang mana diplomat tertinggi blok itu, Josep Borell berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Russia.

Perdana Menteri Britain, Liz Truss ketika berucap berikrar bahawa kerajaannya ‘tidak akan berehat selagi Ukraine mencapai kemenangan’.

“Pada saat genting dalam konflik ini, kami berikrar untuk mengekalkan atau meningkatkan sokongan ketenteraan ke Ukraine selagi mana diperlukan,” ujarnya.

RUSSIA TIDAK AKAN MENANG

Beberapa pakar pertahanan Barat meramalkan perintah terbaharu kerahan tentera oleh Putin bakal memanjangkan lagi perang di Ukraine, namun yakin Moscow tidak dapat memenangi perang tersebut.

Malah, pakar berkenaan menegaskan ia tidak sama sekali akan mengubah situasi di medan peperangan.

Semalam, Putin mengerahkan 300,000 anggota tentera simpanan, melebihi jumlah 200,000 yang digerakkan untuk menceroboh Ukraine Februari lalu, selepas tentera Russia kehilangan sejumlah besar wilayah yang dirampas ketika fasa awal peperangan.

Penganalisis berpandangan, langkah itu mencetuskan risiko politik kepada Putin, dengan peningkatan penentangan terhadap perang itu serta struktur mobilisasi ketenteraan yang semakin merosot sejak 10 tahun lalu. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya