KYIV: Empat wilayah Ukraine yang dikuasai Moscow akan mengundi dengan segera pada minggu ini, untuk menjadi sebahagian daripada Russia.
Perkara itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa di wilayah pro-Moscow ketika tentera Kyiv berjaya merampas kembali wilayah yang ditawan oleh Russia.
Pihak berkuasa pro-Russia di wilayah Donetsk, Lugansk, Kherson dan Zaporizhzhia memaklumkan akan mengadakan pengundian selama lima hari bermula Jumaat ini.
Wilayah tersebut berada di barisan hadapan serangan balas Ukraine yang menyaksikan tentera Kyiv merampas semula ratusan bandar dan kampung yang dikuasai oleh Russia selama berbulan-bulan.
Rancangan untuk menyertai Russia bakal meningkatkan lagi konflik memandangkan Moscow mungkin akan menyatakan bahawa pihaknya mempertahankan wilayahnya sendiri daripada tentera Ukraine.
Pemimpin pemisah di wilayah Lugansk, Denis Miroshnichenko berkata, penggubal undang-undang pro-Moscow menetapkan untuk mengadakan pengundian dari 23 hingga 27 September ini.
Sejurus selepas pengumuman Miroshnichenko, sebuah portal berita di Donetsk pula melaporkan wilayah itu akan mengadakan pengundian pada tarikh yang sama.
Sebahagian besar kawasan perindustrian Donbas yang merangkumi Donetsk dan Lugansk, dikawal oleh pemisah pro-Moscow sejak tahun 2014.
Pihak berkuasa di wilayah selatan Kherson di Ukraine juga mengumumkan bakal mengadakan pengundian tersebut pada tarikh sama.
“Penyertaan Kherson dalam Persekutuan Russia akan menjamin keselamatan dan memulihkan semula keadilan sejarah,” kata ketua wilayah, Vladimir Saldo.
Pihak berkuasa pro-Moscow di wilayah Zaporizhzhia memaklumkan pihaknya akan mengadakan pengundian mengenai `kesetiaan wilayah’.
KECAM PENGUNDIAN
Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Perancis mengecam rancangan pihak berkuasa di wilayah pro-Moscow di Ukraine untuk mengadakan pengundian itu.
Malah, negara-negara tersebut menegaskan komuniti antarabangsa tidak akan sesekali mengiktiraf keputusan undian itu.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pula menyifatkan undian itu bakal ‘meningkatkan lagi’ perang semasa.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memuji sekutu Barat kerana mengecam tindakan Russia.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dan rakan kongsi Ukraine atas kecaman dan ketegasan mereka terhadap hasrat Russia untuk mengadakan lebih banyak referendum palsu,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya akan mendedahkan `insiden kekejaman baharu Russia’, dengan menyatakan penduduk di wilayah dirampas Ukraine sudah menunjukkan `bilik mereka diseksa dan tempat mayat yang dibunuh disembunyikan’.
Kyiv menegaskan proses pungutan suara itu tidak bermakna dan berikrar untuk `menghapuskan’ segala ancaman yang dicetuskan oleh Russia.
Jelas Kyiv, tentera Ukraine akan terus merampas semula semua wilayah tanpa mengira rancangan Moscow mahupun proksinya. – AFP