SYDNEY: Australia ketika ini bergelut dalam memastikan bekalan tenaga buruh di seluruh negara mencukupi.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan Australia berusaha menaikkan purata pendapatan bagi segelintir pekerja asing sementara.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kemahiran dan Latihan, Brendan O’Connor semalam.
Katanya, kerajaan akan mengkaji usul menaikkan purata pendapatan pekerja asing berkemahiran sementara yang kini sebanyak A$53,900 (RM164,293) sejak 2013.
Namun, beliau tidak mengulas sama ada had perlu dinaikkan kepada A$65,000 (RM198,127) selaras dasar parti Buruh sebelum mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum Mei lalu.
Isu penghijrahan pekerja berkemahiran menjadi tumpuan dalam sidang kemuncak pekerjaan minggu ini, menyaksikan Perdana Menteri, Anthony Albanese menggesa tolak ansur antara majikan dan kesatuan sekerja bagi menangani cabaran ekonomi utama negara.
Pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan pengambilan pekerja asing berkemahiran tetap kepada 195,000 orang bagi tahun ini, iaitu meningkat sebanyak 35,000 orang untuk membantu sektor perniagaan menangani masalah kekurangan pekerja.
Isu kekurangan pekerja sebelum ini diburukkan dengan kelewatan masa bagi urusan pemprosesan visa di Australia, menyebabkan hampir sejuta bakal pekerja perlu menunggu lama untuk masuk ke negara ini.
Kekurangan pekerja, membabitkan industri kemahiran tinggi terjejas akibat pandemik Covid-19 apabila negara ini menutup pintu sempadan selama hampir dua tahun. – REUTERS