JAKARTA: Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Negara, Agus Andrianto menjelaskan pembantu rumah Ferdy Sambo, Kuat Maruf membawa pisau kerana mahu mengugut mangsa, Nofriansyah Yosua Hutabarat atau dikenali sebagai Brigadier J.
Jelasnya, pisau tersebut digunakan di rumah majikannya di Magelang, Jawa Tengah.
“Terdapat banyak maklumat yang tersebar mengenai teman wanita mangsa yang menyatakan lelaki itu diugut oleh skuad lama.
“Maruf bawa pisau sebab hendak ugut mangsa kalau dia naik ke atas (rumah Ferdy). Di tingkat atas adalah bilik isteri Ferdy, Puteri Chandrawathi berehat,” katanya lapor Kompas.com.
Menurut Agus, tiada sentuhan fizikal dari pisau yang dibawa Maruf terhadap Brigadier J.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Ahmad Taufan Damanik pula mendedahkan, Maruf marah dengan mangsa kerana melakukan hubungan seksual dengan Puteri.
Dalam perkembagan lain, ayah mangsa, Samuel Hutabarat melarang isterinya, Rosti Simanjuntak melihat video lakonan semula pembunuhan anaknya melalui televisyen.
Ini kerana, dia tidak mahu isterinya teringat kembali terhadap anaknya.
Samuel turut berharap proses lakonan semula yang dijalankan oleh pihak polis berjalan baik.
Bagaimanapun, dia kecewa kerana peguam yang mewakili anaknya, Kamaruddin Simanjuntak tidak dibenarkan melihat lakonan semula pembunuhan Brigadier J.
“Peguam pasti kecewa kerana mereka sebagai wakil keluarga mesti mahu turut serta melihat proses lakonan semula itu,” katanya.










