LONDON: Kenderaan yang membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II tiba di Istana Windsor, barat London bagi upacara persemadian terakhir.
Keranda mendiang dibawa ke Gereja St George di Istana Windsor sebelum disemadikan di King George VI Memorial Chapel yang juga tempat persemadian bonda serta ayahanda mendiang Ratu Elizabeth II.
Sebelum itu, kenderaan yang membawa mendiang bergerak melalui sepanjang jalan utama di ibu kota London bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II.
Sepanjang perjalanan terakhir itu, penduduk mengambil peluang membaling bunga ke arah kenderaan yang melepasi mereka sebagai tanda kecintaan rakyat terhadap ratu.
Malah, ada kalangan rakyat yang bertafakur, sementara yang lain `bersorak’ dan memberikan lambaian terakhir kepada Ratu Elizabeth II.
Terdahulu, upacara keagamaan diadakan di Westminster Abbey, gereja bersejarah yang pernah mengadakan pelbagai upacara diraja termasuk menabalkan Raja dan Ratu Britain.
Ratusan pemimpin dan ketua negara termasuk semua bekas perdana menteri Britain serta Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron hadir pada upacara persemadian Ratu Elizabeth II.
Ratusan ribu penduduk berbaris di sepanjang ibu kota untuk menyaksikan perarakan dan memberi penghormatan terakhir kepada ratu kesayangan mereka. – AGENSI