Indonesia luluskan RUU lindungi data peribadi

Indonesia luluskan RUU lindungi data peribadi

Data rakyat Malaysia dilelong secara pukal di dark web.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi perlindungan data peribadi yang boleh membawa kepada denda korporat dan hukuman penjara sehingga enam tahun jika disabit kesalahan berkaitan pengendalian data di negara ini.

kelulusan tersebut dibuat selepas berlaku beberapa siri kebocoran data, termasuk melibatkan data institusi dan firma kerajaan di Indonesia.

Antara kebocoran data yang dikesan termasuk data syarikat insurans, syarikat telekomunikasi dan utiliti awam serta aplikasi pengesanan kontak Covid-19 yang mendedahkan rekod vaksinasi Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Majoriti ahli parlimen menyokong RUU tersebut yang diusahakan sejak 2016.

RUU itu juga menyaksikan presiden diberi kuasa untuk membentuk badan pengawal selia bagi mendenda pengendali data yang melanggar undang-undang berhubung pengedaran atau pengumpulan data peribadi.

Kadar denda tertinggi adalah dua peratus daripada pendapatan tahunan sesebuah syarikat dan aset mereka boleh dirampas atau dilelong.

Undang-undang tersebut merangkumi tempoh pelarasan selama dua tahun, namun tidak menggariskan secara khusus bagaimana pelanggaran akan ditangani dalam fasa berkenaan.

Selain itu, individu boleh dihukum penjara hingga enam tahun atas kesalahan memalsukan data peribadi untuk kepentingan peribadi, atau penjara hingga lima tahun bagi kesalahan mengumpul data peribadi secara haram.

Pengguna pula berhak mendapat pampasan atas pelanggaran data mereka, serta menarik balik kebenaran penggunaan data mereka.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN