Indonesia bimbang penularan penyakit Legionnaires - Utusan Malaysia

Indonesia bimbang penularan penyakit Legionnaires

TJANDRA Yoga Aditama. - ANTARANEWS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan dan rakyat Indonesia diminta agar sentiasa berwaspada dengan penemuan kes radang paru-paru `misteri’ di Argentina yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penyakit Legionnaires.

Kebimbangan itu disuarakan oleh bekas Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Asia Tenggara, Tjandra Yoga Aditama. 

Lapor CNN Indonesia, Tjandra berkata, kemunculan penyakit radang paru-paru tanpa diketahui asal-usulnya, sepatutnya mengingatkan kepada penemuan virus menyebabkan Covid-19 yang bermula di Wuhan, China pada Disember 2019.

“Sudah tentu, kita masih perlu kekal berwaspada dengan wabak pelbagai penyakit yang menular ini,” katanya.

Tjandra juga mengetengahkan beberapa perkara berkaitan penyakit radang paru-paru misteri di Argentina.

Antaranya, beliau menegaskan bahawa Legionella pneumophila merupakan bakteria dan bukannya virus.

Tjandra memberi amaran cara penularan penyakit itu adalah melalui penyedutan aerosol yang tercemar dengan bakteria.

“Penularan juga boleh berlaku menerusi air atau ais yang tercemar terutamanya pesakit yang terdedah atau berisiko tinggi di hospital,” katanya.

Selain itu, Tjandra berkata, penyakit yang disebabkan bakteria Legionella itu boleh dirawat dengan antibiotik.

Justeru, beliau meminta kes kematian disebabkan bakteria Legionella di Argentina, perlu dianalisis dengan lebih lanjut kerana penyakit itu boleh ditangani sekiranya pesakit menerima rawatan secukupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN