SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong kelmarin memberitahu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kesediaan republik ini untuk menerima cadangan baharu daripada negara jirannya itu tentang projek kereta api kelajuan tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur yang ditamatkan sebelum ini.
Wong memaklumkan, Singapura menyedari Malaysia berminat untuk menghidupkan semula rancangan projek tersebut.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan Singapura berkata demikian ketika mengadakan kunjungan rasmi pertama ke Malaysia sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Jun lalu.
Projek HSR tersebut yang menyasarkan penjimatan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur dalam masa 90 minit, dihentikan selepas beberapa penangguhan di bawah permintaan Malaysia dan akhirnya perjanjian itu luput pada Disember 2020.
Malaysia membayar lebih S$102 juta (RM326.9 juta) sebagai pampasan kepada Singapura kerana pembatalan projek berkenaan.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin menyambut baik perkembangan positif berhubung projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi pada penghujung 2026.
“Perdana Menteri Ismail Sabri dan Timbalan Perdana Menteri Wong sentiasa komited dalam memastikan Singapura dan Malaysia saling bekerjasama dalam pelbagai sektor yang akan memberi faedah kepada kedua-dua negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Singapura.
Selain itu, Wong turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-duanya saling bertukar pandangan mengenai cabaran dan peluang yang boleh diwujudkan untuk Singapura serta Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan pembangunan geopolitik. – CNA