LONDON: Satu data rasmi menunjukkan seramai 29.2 juta penduduk di United Kingdom (UK) menonton upacara persemadian negara Ratu Elizabeth II yang berlangsung di Westminster Abbey menerusi televisyen.
Bagaimanapun, upacara bersejarah itu gagal menepati ramalan untuk menjadi siaran langsung paling banyak ditonton dalam sejarah televisyen Britain.
Lapor The Guardian, kurang daripada separuh penduduk UK menonton siaran langsung upacara persemadian baginda ratu di televisyen.
Jumlah itu lebih rendah berbanding 31 juta orang yang menyaksikan kemuncak kekalahan England pada final Euro 2020 menentang Itali.
Upacara persemadian Ratu Elizabeth II yang disiarkan di BBC One meraih 19.5 juta penonton manakala BBC Two mencapai 2 juta bagi liputan bahasa isyarat.
Liputan ITV pula mencecah 5.3 juta penonton dan Sky News hanya menarik maksimum 934,000 orang.
Semua saluran televisyen itu menawarkan rakaman teras sama dengan menampilkan penyampai yang berbeza.
Perkhidmatan itu juga disiarkan secara serentak di puluhan saluran televisyen lain, yang mewujudkan beberapa penjajaran luar biasa.
Kira-kira 170,000 orang memberi penghormatan terakhir kepada ratu kesayangan mereka dengan menyaksikan upacara persemadian Ratu Elizabeth II pada Sky Sports Main Event.
Tindakan Channel 5 yang menayangkan filem kanak-kanak pada hari berkenaan menyebabkan hampir 145,000 orang menonton The Emoji Movie berbanding upacara persemadian Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey.
Angka itu dikeluarkan selepas seorang menteri memaklumkan kira-kira satu perempat juta orang beratur untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II ketika keranda baginda diletakkan di Dewan Westminster.