fbpx

Wanita Saudi dihukum penjara 34 tahun kerana Twitter

SALMA AL-SHEHAB

RIYADH: Seorang wanita Arab Saudi dijatuhkan hukuman penjara 34 tahun atas kesalahan memiliki akaun Twitter dan mengikuti serta melakukan ciapan semula yang dimuat naik oleh aktivis. 

Lapor The Guardian, Salma al-Shehab, 34, merupakan pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Leeds University yang pulang bercuti di Arab Saudi. 

Ibu dua anak itu asalnya dikenakan hukuman penjara tiga tahun berhubung kesalahan ‘jenayah’ menggunakan laman web internet yang menimbulkan ‘keresahan awam serta mengganggu kestabilan keselamatan awam dan negara’. 

Namun, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman baharu iaitu 34 tahun penjara diikuti larangan melakukan perjalanan selama 34 tahun selepas seorang pendakwa raya meminta mahkamah mempertimbangkan dakwaan jenayah lain. 

Berdasarkan rekod mahkamah seperti yang dilihat oleh The Guardian, pertuduhan baharu itu termasuk dakwaan tertuduh membantu individu yang mencetuskan kekacauan awam serta mengganggu kestabilan keselamatan awam dan negara menerusi akaun Twitter serta ciapan-ciapan yang dimuat naik. 

Difahamkan, Salma masih boleh mendapatkan rayuan baharu mengenai kes tersebut. 

Salma sebenarnya bukanlah seorang aktivis terkemuka atau lantang bersuara sama ada di Arab Saudi atau UK. 

Dia hanya mempunyai seramai 159 pengikut dalam Instagram dengan menyatakan dirinya sebagai seorang pakar pergigian serta pensyarah di Universiti Puteri Nourah Abdulrahman. 

Profil Twitternya hanya mempunyai 2,597 pengikut dan antara ciapan yang pernah dimuat naik adalah mengenai Covid-19 dan gambar anak-anaknya yang masih kecil. 

Selebihnya, dia hanya membuat ulang ciapan oleh aktivis Arab Saudi yang hidup dalam buangan. 

Salma kelihatan seolah-olah menyokong kes Loujain al-Hathloul iaitu seorang aktivis feminis Arab Saudi terkemuka yang pernah dipenjarakan atas kesalahan menyokong hak memandu bagi golongan wanita. 

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Pengganas Khas oleh Arab Saudi beberapa minggu selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ke negara itu. 

Kes itu juga menunjukkan contoh baharu bagaimana Putera Mahkota, Mohammed Salman menyasarkan pengguna Twitter dalam kempen penindasan yang mengawal kepentingan tidak langsung utama dalam syarikat media sosial AS melalui dana kekayaan Arab Saudi, Dana Pelaburan Awam (PIF).   

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!