Tiga hari rakyat Gaza 'bermandi darah'

Tiga hari rakyat Gaza ‘bermandi darah’

KEDIAMAN penduduk musnah teruk akibat dibedil tentera Israel di bandar Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Penduduk Palestin yang tinggal di selatan Semenanjung Gaza diserang bertubi-tubi oleh pesawat perang Israel sehingga mengorbankan Komander Kanan Jihad Islam Palestin (PIJ), Khaled Mansour.

Sehingga awal pagi Ahad lalu, pasukan pertahanan dan penyelamat awam berusaha mengeluarkan badan mangsa yang tercedera di bawah runtuhan bangunan di kem pelarian, walaupun dengan kekangan peralatan. 

Menurut pasukan perubatan, seramai tujuh orang terbunuh dalam insiden pengeboman di Rafah, Sabtu lalu, sekali gus menjadikan angka korban keseluruhan adalah seramai  44 orang termasuk 15 kanak-kanak, manakala lebih 300 orang awam mengalami kecederaan. 

Proses menyelamat menjadi lebih sukar akibat lorong sempit di kawasan kem dengan struktur rumah yang dibina dalam jarak dekat berbumbungkan atap asbestos. 

SANGGUP RUMAH DIROBOHKAN 

Ashraf al-Qaisi, 46, berkata, dia sanggup membenarkan jentolak merobohkan seluruh rumahnya bagi membantu pasukan penyelamat mencari jirannya yang tertimbus di bawah runtuhan. 

“Ini adalah malam yang paling sukar dalam hidup saya. 

“Saya sedang duduk di rumah bersama isteri dan enam anak, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dan sebahagian siling runtuh. Insiden itu menyebabkan seorang anak lelaki saya cedera,” luahnya. 

Ketika kejadian, Ashraf berlari keluar dan mendapati beberapa rumah jirannya musnah sepenuhnya akibat dibom Zionis Israel. 

“Itu adalah saat-saat yang sukar. Percikan darah, bahagian badan, jeritan di bawah runtuhan dan mayat ditarik keluar. 

“Amat sukar bagi jentolak untuk sampai ke rumah yang disasarkan. Jadi, saya biarkan jentolak merobohkan seluruh rumah untuk menyelamatkan jiran saya di sebelah,” katanya. 

Walaupun Ashraf tidak bekerja dan mempunyai pendapatan untuk menyara keluarganya, dia langsung tidak teragak-agak membenarkan kru penyelamat merobohkan rumahnya. 

“Situasi itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Saya mahu membantu dengan apa cara sekalipun. 

“Saya ingin beritahu dunia, cukup-cukuplah dengan peperangan, pengeboman dan pembunuhan yang berlaku. Kami penat dan benar-benar letih dengan semua ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Wissam Joudeh, 39, menggesa komuniti antarabangsa dan kemanusiaan mendesak Israel supaya menghentikan serangan berulang di Gaza. 

“Gaza bersendirian. Kami tidak pernah mencetuskan peperagan dengan sesiapa. Kami hanyalah rakyat biasa yang mahu hidup dengan tenang,” katanya. 

GENCATAN SENJATA 

Israel dan kumpulan pejuang PIJ mengumumkan gencatan senjata dengan harapan menamatkan serangan paling serius di sempadan Gaza dalam tempoh lebih setahun. 

Gencatan sejata secara rasmi bermula pada pukul 11.30 malam (waktu tempatan) pada Ahad yang bertujuan membendung pertempuran terburuk sejak perang 11 hari, tahun lalu, di Gaza. 

Pegumuman tersebut dibuat secara berasingan oleh Jihad Islam dan kemudian disusuli oleh Israel dengan Mesir bertindak selaku orang tengah. 

Bagaimanapun, serangan bertubi-tubi termasuk bedilan roket berlaku menjelang gencatan senjata itu, dengan siren amaran dibunyikan di selatan Israel beberapa ketika sebelum dan selepas tempoh akhir ditetapkan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan tiga minit selepas gencatan senjata bermula, tentera Israel berkata, tenteranya kini menyerang pelbagai sasaran milik pejuang Islam di Gaza sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan ke arah wilayah haram Israel. 

Dalam kenyataan lain selepas itu, pasukan tentera Israel berkata, serangan akhirnya dilakukan pada pukul 11.25 malam.

Walaupun kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan gencatan senjata, masing-masing memberi amaran antara satu sama lain akan bertindak balas dengan kekerasan terhadap sebarang keganasan.-REUTERS  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya