WASHINGTON: Nama Saif al-Adel mula meniti di bibir pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) sebagai calon pengganti pemimpin Al-Qaeda seterusnya.
Sama ada ini adalah usaha terakhir menutup kes tembakan besar-besaran di negara Uncle Sam dan mengalihkan pandangan masyarakat dunia, hanya Washington tahu jawapannya.
Sebelum ini juga, pernah timbul desas-desus Osama bin Laden yang mati dibunuh pada 2011 ketika pentadbiran Barack Obama adalah ejen CIA yang ‘berlakon’ sebagai watak utama bagi memburukkan Islam di mata dunia.
Selepas kematian Ayman al-Zawahiri disahkan oleh Joe Biden, AS mula meratib nama Saif yang merupakan bekas pegawai tentera Mesir dan dipercayai antara pengasas Al-Qaeda.
Difahamkan, Saif pernah menyertai latihan di Maktab al-Khidamat sekitar 1980an dan berjumpa dengan Osama dan Ayman.
Saif atau nama sebenarnya Mohammed Salah al-din Zaidan dipercayai berumur sekitar 60 tahun dan merupakan antara pemimpin termuda al-Qaeda.
Ketika menyelia operasi ‘Black Hawk Down’ yang terkenal di Mogadishu, Somalia sehingga menyebabkan 19 tentera AS terbunuh dan mayat mereka diseret di jalanan, Saif dikatakan berusia 30 tahun ketika itu.
Sejak pembunuhan Osama 11 tahun lalu, Saif dikatakan merupakan ahli strategi penting dalam al-Qaeda.
Satu-satunya perkara yang menghalangnya untuk menjadi pemimpin al-Qaeda ketika itu, adalah besar kemungkinan dia akan terperangkap di Iran sejak 19 tahun lalu.
IRAN NAFI
Pada 2003, Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Javad Zarif enggan mengesahkan atau menafikan keberadaan Saif di negara itu.
Javad berkata kepada ABC News, seorang pengganas akan mempunyai banyak pasport, malah kerajaan Iran jiga tidak dapat mengesahkan identiti lelaki itu.
Menurut Pakar Antikeganasan dan bekas ejen FBI, Ali Soufan, Saif berkemungkinan besar sudah dilantik sebagai pemimpin al-Qaeda sejak tahun lalu.
Katanya, Saif dilantik kerana bakat dan kelebihan yang dimiliki seperti kekejaman AS membunuh orang atasannya.
Dalam pada itu, perisikan AS menyatakan lelaki itu dikehendaki berhubung kes pengeboman 7 Ogos 1998 di Kedutaan AS di Dar es Salaam, Tanzania, Nairobi dan Kenya.
Insiden itu menyebabkan 224 orang maut dalam tiga letupan di Afrika Timur, termasuk 12 rakyat AS dan lebih 4,500 yang lain cedera.
Ganjaran sebanyak AS$10 juta (RM44 juta) juga ditawarkan sekiranya mempunyai maklumat mengenai lokasi Saif.-AGENSI