LONDON: Kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak sejuta pound (RM5.4 juta) bagi menempatkan pelarian Afghanistan di hotel selepas mereka melarikan diri dari negara itu, tahun lalu.
Difahamkan, sekitar 9,500 pelarian menetap di 70 hotel sebelum menunggu urusan penempatan kekal diuruskan.
Pihak berkuasa mendapati tinggal di hotel bukanlah pilihan yang sesuai bagi pelarian yang sudah berkeluarga dan berusaha memindahkan mereka ke kawasan kediaman secepat mungkin.
Februari lalu, pihak kerajaan dilaporkan membelanjakan 4.7 juta pound (RM25 juta) sehari bagi menempatkan pencari suaka di hotel, dengan 1.2 juta pound (RM6.5 juta) dibelanjakan khusus bagi pelarian Afghanistan.
Sehingga kini, sebanyak 350 majlis perbandaran sudah memberikan sokongan kepada pelarian tinggal di kawasan perumahan di seluruh United Kingdom.
Jun lalu, Menteri Pelarian, Lord Richard Harrington berkata, beliau bertekad memindahkan pelarian Afghanistan keluar dari hotel serta merayu bantuan pihak lain.
Setakat 13 Jun lalu, katanya, hanya tinggal kurang 100 kediaman yang tersedia untuk menempatkan pelarian tersebut.
“Kebanyakan mereka yang berada di hotel melibatkan ahli keluarga yang lebih besar dan memerlukan sekurang-kurangnya empat bilik tidur,” katanya.
Harrington berkata, dia berusaha menghubungi pemilik tanah, pemaju hartanah serta pemilik premis swasta yang lebih luas bagi menggalakkan tawaran kediaman.
Menjelang ulang tahun pertama pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban Isnin depan, pihak berkuasa belum memberikan jumlah keseluruhan terkini pelarian yang berada di UK.