JAKARTA: Kementerian Agama Indonesia berharap supaya tiada lagi pasangan suami isteri yang bertengkar hanya kerana mempunyai pandangan politik berbeza dalam Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) akan datang.
Timbalan menterinya, Zainut Tauhid Sa’adi berkata, Pemilu mahupun Pilpres tidak sepatutnya menjadi titik perpecahan rakyat, malah perlu dilihat sebagai penyatuan semua pihak dalam menentukan kerajaan terbaik.
“Saya tegaskan, menjelang Pemilu dan Pilpres akan datang, mudahan tiada suami isteri bertengkar, jiran tetangga bermasam muka atau sesama saudara bermusuhan hanya kerana perbezaan pandangan politik.
“Benar, adalah menjadi hak setiap masyarakat untuk menyokong mana-mana parti politik yang mereka suka, namun itu bukan pencetus kepada kebencian terhadap pihak lain,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Selain itu, Zainut juga meminta semua penjawat awam yang bertugas dalam Pemilu dan Pilpres akan datang supaya menjaga keamanan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
“Kita (kerajaan) sebagai penghulu, penyuluh agama, guru dan kita seharusnya menjaga keamanan antara kaum, bangsa dan agama,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak 40 parti politik sudah mendaftar dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) sebagai calon Pemilu 2024.
Pendaftaran juga sudah rasmi ditutup kelmarin.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya KPU, Hasyim Asyari di Jakarta.
KPU juga akan mengumumkan parti politik mana yang layak bertanding berdasarkan syarat yang ditetapkan.