SINGAPURA: Berpuluh-puluh pemilik rumah yang tidak berpuas hati termasuk pelabur rakyat Singapura memfailkan tuntutan mahkamah melalui perwakilan secara kolektif terhadap pemaju Country Garden Danga Bay di Johor Bahru.
Lapor berita.mediacorp, tuntutan itu dibuat berhubung penipuan dan salah gambaran yang dibuat oleh pihak pemaju.
Seramai 49 pembeli rumah dari Singapura, Malaysia dan China mendakwa unit-unit kondominium mewah oleh pemaju di zon ekonomi Iskandar Malaysia di Johor Selatan tidak menetapi seperti yang diiklankan.
Seorang pelabur warga Singapura memberitahu, pihak pemaju membuat perubahan pada perjanjian penjualan dan pembelian selepas pembeli menandatangani perjanjian tersebut.
Kumpulan pembeli tersebut mahu menuntut pampasan tanpa menyatakan jumlah yang jelas.
Pembangunan kondominium Danga Bay terletak di kawasan Iskandar di Johor Bahru, kira-kira 10 minit perjalanan dari pusat pemeriksaan Imigresen Malaysia.
Pembinaan itu menampung lebih 9,000 unit apartmen di pinggir laut, dengan saiznya berkeluasan dari 400 meter persegi hingga 1,400 meter persegi.
Pembangunan yang luas itu juga merangkumi kemudahan lain termasuk pusat beli-belah, pantai buatan manusia dan enam dermaga kapal pesiar.
Apabila pembangunan mewah itu dilancarkan pada 2013, satu kempen terperinci diadakan untuk menarik pembeli dari Singapura.