WASHINGTON: Seorang lelaki berusia 29 tahun berasal dari Delaware maut dipercayai akibat bunuh diri kelmarin, berhampiran bangunan Capitol Amerika Syarikat (AS).
Menurut polis, lelaki itu menaiki sebuah kenderaan sebelum merempuh halangan berhampiran Capitol dan melepaskan beberapa tembakan ke udara.
Akibat rempuhan itu, kenderaan tersebut terbakar.
Polis mengenal pasti lelaki itu sebagai Richard A York III.
“Masih tidak dapat dipastikan mengapa mangsa memilih Capitol untuk melakukan tindakan itu.
“Polis yakin lelaki itu tidak menyasarkan serangan terhadap mana-mana anggota Kongres, kemungkinan bunuh diri,” kata polis menerusi kenyataan.
Polis juga memaklumkan, lelaki itu melepaskan beberapa tembakan ke udara menyebabkan pihak berkuasa dikerahkan ke lokasi.
Sebaik sahaja polis tiba, suspek terus menembak dirinya dan mati di tempat kejadian.
Pada April tahun lalu, seorang lelaki yang menaiki kenderaan merempuh anggota polis dan mengacukan pisau, menyebabkan seorang pegawai maut dan beberapa lagi cedera. – REUTERS