JAKARTA: Sebuah kontena berisi makanan asas yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk memerlukan ditemukan tertanam di kawasan lapang Tirtajaya, Depok, Jawa Barat.
Lapor Kompas.com, kontena yang berisi beras, minyak masak, tepung gandum dan telur ditemukan tertanam pada kedalaman tiga meter.
Pemilik tanah itu bahkan terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengorek tanah tersebut.
Kontena tersebut ditemukan pemilik tanah itu, Rudi Samin sebelum meminta bantuan syarikat perkhidmatan penghantaran logistik JNE.
“Pekerja JNE memaklumkan terjumpa barang keperluan dalam kontena tersebut.
“Tanah lapang itu kebiasaannya digunakan bagi meletakkan kendaraan milik JNE. Ini kerana, lokasi gudang JNE juga berdekatan padang itu,” katanya.
Rudi berkata, dia mengambil masa selama tiga hari untuk mengeluarkan kontena yang tertera perkataan ‘Bantuan Presiden’ yang diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial.
Dalam perkembangan sama, syarikat JNE mengaku menanam bantuan makanan tersebut di Jalan Tugu Jaya, Kampung Serab, Depok.
Syarikat itu menjelaskan barangan keperluan asas tersebut sudah rosak dan prosedur yang dijalankan tidak bercanggah dengan persetujuan antara JNE dan pihak kerajaan.
“JNE sentiasa komited mengikut prosedur undang-undang dan larangan yang ditetapkan.
“Sebagai syarikat yang menyediakan perkhidmatan logistik dan penghantaran, kami sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan.
“JNE juga menyokong sepenuhnya program kerajaan bagi menyalurkan bantuan sosial kepada komuniti memerlukan,” jelasnya.