Konflik China-Taiwan jadi tumpuan ASEAN - Utusan Malaysia

Konflik China-Taiwan jadi tumpuan ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Konflik membabitkan Taiwan ketika ini dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan serantau, sekali gus membawa kepada salah perhitungan, konfrontasi serius, konflik terbuka dan akibat tidak dijangkakan dalam kalangan kuasa besar.

Perkara berkenaan ditekankan ASEAN dalam satu kenyataan, hari ini, berhubung isu terbabit yang jarang dikeluarkan oleh blok mempunyai 10 negara anggota itu pada mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di ibu negara Kemboja ini.

Sehubungan itu, ASEAN menggesa semua pihak bertenang dan mengelakkan sebarang tindakan provokatif yang boleh memburukkan lagi keadaan tegang di Selat Taiwan ketika ini, susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, ke Taiwan yang mencetuskan kemarahan China.

“Situasi itu dibimbangi boleh menjejaskan kestabilan serantau, sekali gus membawa kepada salah perhitungan, konfrontasi serius, konflik terbuka dan akibat tidak dijangkakan dalam kalangan kuasa besar,” menurut kenyataan berkenaan.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, serta Menteri Luar China, Wang Yi, turut menghadiri mesyuarat ASEAN berkenaan, hari ini dan esok.

Pelosi tiba di Taipei, malam kelmarin, dalam kunjungan sebagai ahli politik berprofil tertinggi AS yang pertama melawat Taiwan dalam tempoh 25 tahun.

China menyifatkannya sebagai satu provokasi besar dan bertindak balas dengan mengumumkan perancangan mengadakan latihan ketenteraan di sekeliling Taiwan, mulai hari ini.

China mendakwa Taiwan yang memiliki pentadbiran demokrasi sendiri, adalah sebahagian daripada wilayahnya.

Mengulas lanjut, Menteri-Menteri ASEAN menegaskan, dunia kini amat memerlukan kebijaksanaan serta tanggungjawab semula pemimpin untuk menegakkan multilateralisme dan perkongsian, kerjasama, perwujudan bersama secara aman, serta persaingan sihat.

“Ia bagi berkongsi matlamat keamanan, kestabilan, keselamatan serta pembangunan mapan dan inklusif. Kita harus bertindak bersama-sama.

“ASEAN bersedia memainkan peranan konstruktif dalam membantu dialog keamanan antara semua pihak berkenaan, termasuk menerusi penggunaan mekanisme diterajui ASEAN, untuk meredakan ketegangan dan menjaga keamanan, keselamatan serta pembangunan dalam rantau kita,” katanya.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN