JAKARTA: Hasil bedah siasat ulangan terhadap mayat Nofriansyah Yosua Hutabarat menunjukkan punca kematiannya disebabkan kecederaan tembakan, termasuk di bahagian kepala dan dada.
Perkara itu dimaklumkan oleh ketua pasukan forensik, Ade Firmansyah Sugiharto di Jabatan Jenayah Polis Indonesia, semalam.
Bedah siasat itu juga menemukan sebanyak lima luka tembakan dengan empat daripadanya peluru menembusi badan.
Selain itu, tiada luka lain ditemukan pada tubuh anggota polis tersebut.
“Saya boleh simpulkan bahawa tiada luka lain kecuali kesan tembakan pada mayat Nofriansyah,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Terdahulu, pasukan forensik menyerahkan laporan hasil bedah siasat kepada jabatan tersebut untuk diperiksa sebelum didedahkan kepada umum.
Dalam pada itu, pasukan forensik tidak dapat mengenal pasti jenis peluru yang digunakan untuk menembak mangsa memandangkan mayatnya semakin bengkak dan mereput.
Proses bedah siasat ulangan terhadap mayat Nofriansyah dilakukan pada 27 Julai lalu di Hospital Umum Daerah Sungai Bahar, Muaro Jambi.
Sebelum bedah siasat dilakukan, kubur anggota polis itu digali semula selepas pelbagai pihak termasuk keluarga Nofriansyah menggesa agar proses itu diulangi memandangkan terdapat kecurigaan mengenai punca kematiannya.
Setakat ini, lima orang didakwa terlibat dalam kes pembunuhan Nofriansyah dengan Ferdy Sambo dan isterinya, Putri Candrawathi menjadi suspek utama.
Nofriansyah maut ditembak dalam kejadian yang berlaku di rumah Ferdy di Duren Tiga, Jakarta Selatan.
Sehingga kini, polis masih belum dapat mengenal pasti motif pembunuhan tersebut.