fbpx

Kes polis ditembak: Ferdy berdepan hukuman mati

INSPEKTOR Ferdy Sambo (kiri) didakwa mengesyaki isterinya, Putri Candrawathi (tengah) mempunyai hubungan dengan Sarjan Nopryansyah Yosua Hutabarat (kanan). - AGENSI

JAKARTA: Pihak polis menolak dakwaan berlaku insiden berbalas tembakan sehingga menyebabkan kematian anggota polis, Nofriansyah Yosua Hutabarat seperti dilaporkan sebelum ini. 

Lapor Kompas.com, Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo berkata, sebaliknya, Inspektor Ferdy Sambo yang mengarahkan anak buahnya, Bharada Richard Eliezer membunuh mangsa. 

Dengan penemuan terkini itu, katanya, suspek bukan sahaja berdepan hukuman penjara bahkan akan didakwa dengan hukuman mati. 

“Nofriansyah mati dibunuh oleh Bharada atas arahan Ferdy. Selepas itu, dia melepaskan tembakan ke dinding rumah supaya kelihatan seperti berlaku insiden tembak menembak. 

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif sebenar kejadian,” katanya.   

Minggu lalu, Polis Indonesia menetapkan Bharada sebagai suspek utama dalam kes kematian Nofriansyah.

Jurucakap polis, Andi Rian berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan penyelidikan dan bahan bukti yang dikumpul sejak kes itu berlaku sehingga kini.

Jelas Andi, Bharada yang juga anggota polis dan merupakan pembantu kepada Ferdy didakwa menembak mangsa sehingga mati, 8 Julai lalu.

Kejadian itu berlaku selepas suspek dan mangsa mengiringi isteri Ferdy, Putri Chandrawathi dalam perjalanan dari Magelang, Jawa Tengah ke Jakarta.

Insiden itu menyaksikan mangsa maut dengan tujuh tembakan, manakala, suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebelum ini, Ferdy didakwa menjadi suspek utama selepas beliau dituduh cemburu dengan hubungan mesra antara isterinya dengan mangsa.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!