Kapal pertama hantar bekalan bijirin dari Ukraine

Kapal pertama hantar bekalan bijirin dari Ukraine

GANDUM diisi ke dalam kapal kargo di pelabuhan antarabangsa Rostov-on-Don untuk dihantar ke Turki.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Kapal kargo Razoni merupakan kapal pertama yang menghantar bekalan bijirin Ukraine dari pelabuhan Odessa, hari ini.

Penghantaran bekalan bahan mentah itu sekali gus meredakan krisis makanan global berikutan operasi ketenteraan khas Russia ke atas Ukraine.

Kementerian Pertahanan Turki dalam kenyataan memaklumkan pelepasan kapal di bawah bendera Sierra Leone sarat dengan muatan jagung akan menuju ke Lubnan pada pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).

“Kapal itu dijangka sampai ke muara Bosphorus sekitar waktu tengah hari, pada hari Selasa,” kata Pakar Pergerakan Kapal di selat Bosphorus, Yoruk Isik.

Menurut kementerian itu, konvoi lain akan menyusul yang menghormati koridor maritim dan formaliti yang dipersetujui selaras perjanjian yang dicapai dengan Russia, 22 Julai lalu.

Kapal yang dibina pada 1996 berukuran 186 meter dan 25 meter lebar serta mempunyai kapasiti 30,000 tan.

22 Julai lalu, Ukraine dan Russia menandatangani perjanjian penting dengan Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan mengurangkan krisis makanan global yang disebabkan oleh penghantaran bijirin di laluan Laut Hitam yang disekat.

Turki secara rasmi membuka pusat penyelarasan bersama bagi mengawasi eksport di Istanbul yang dikendalikan oleh pegawai awam dan tentera, Rabu lalu.

Tugasan utama mereka melibatkan pemantauan laluan selamat kapal bijirin Ukraine di sepanjang laluan yang ditetapkan serta mengawasi pemeriksaan senjata terlarang semasa perjalanan keluar masuk dari Laut Hitam.

Sebelum ini, sekatan penghantaran daripada dua pengeskport bijirin terbesar dunia menyumbang kepada lonjakan harga yang menyebabkan import makanan menjadi mahal untuk beberapa negara termiskin di dunia.

Harga gandum dilaporkan jatuh mendadak beberapa jam selepas perjanjian bijirin ditandatangani.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN