ANKARA: Kapal pertama membawa muatan bijirin yang berlepas dari Ukraine sejak insiden pencerobohan Russia, tiba di Selat Bosphorus, Turki.
Lapor BBC, Razoni yang membawa sebanyak 26,000 tan jagung, akan diperiksa sebelum meneruskan perjalanan ke Lubnan.
Razoni berlepas dari pelabuhan Odesa di Ukraine Isnin lalu, menuju ke Tripoli di Lubnan melalui perairan Turki.
Kapal Razoni itu akan diperiksa untuk barangan terlarang oleh pegawai Russia, Ukraine, Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum transit melalui selat Bosphorus.
Pihak berkuasa Ukraine berkata, sebanyak 17 kapal bijirin lain menunggu untuk meninggalkan pelabuhan Laut Hitam negara itu sebaik sahaja Razoni menamatkan pelayarannya dengan selamat.
Russia menyekat beberapa pelabuhan Ukraine sejak menceroboh negara itu Februari lalu, sekaligus menyebabkan krisis kekurangan makanan di peringkat global.
Di bawah syarat perjanjian yang diuruskan oleh Turki dan PBB, kedua-dua pihak bersetuju penghantaran boleh disambung semula.
Menurut Ukraine, kapal tentera lautnya akan mengiringi kapal kargo melalui perairan negara itu.
Perjanjian antara Rusia dan Ukraine, yang diuruskan pada akhir Julai selepas dua bulan rundingan, telah diragui apabila Rusia melancarkan dua peluru berpandu di Pelabuhan Odesa kurang 24 jam selepas perjanjian itu diumumkan.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau mahu melihat eksport bijirin kembali teratur semula.