JAKARTA: Pengarah PT Indofood Sukses Makmur, Franciscus Welirang menafikan berita mengenai harga mi segera keluaran syarikatnya akan dinaikkan tiga kali ganda, susulan kenaikan harga gandum akibat perang Russia dan Ukraine.
Lapor Kompas.com, beliau menjelaskan komponen utama dalam pembuatan mi segera tidak semestinya datang daripada gandum 100 peratus.
Oleh itu, katanya, kenaikan harga gandum tidak sama sekali akan menyebabkan harga mi segera naik mendadak.
“Katakan kalau harga cili naik, adakah harga mi juga akan naik?
“Semasa harga minyak masak naik, mi masih dengan harga sama kerana tidak memberikan impak besar kepada produk kita,” jelasnya.
Franciscus yang juga Ketua Umum Persatuan Pembekal Tepung Gandum Indonesia (Aptindo) berkata, setakat ini belum ada ahli anggota yang mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan bekalan gandum.
Berita itu tersebar selepas Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo membayangkan kenaikan harga makanan segera tiga kali ganda akibat kesan kenaikan harga gandum.
Jelasnya, terdapat 180 tan gandum di Ukraine yang belum dibenarkan untuk dieksport ke luar negara, dengan Indonesia merupakan antara negara pengimport.
“Jadi, berhati-hati kepada sesiapa yang suka makan banyak mi segera kerana esok harganya akan naik mendadak tiga kali ganda,” katanya sebelum ini.