Hampir 40 maut 'ribut api' di Algeria - Utusan Malaysia

Hampir 40 maut ‘ribut api’ di Algeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EL KALA: Sekurang-kurangnya 38 mangsa maut termasuk 10 kanak-kanak dalam kebakaran hutan yang memusnahkan sebahagian besar Algeria membabitkan 14 daerah sejak kelmarin.

Berdasarkan maklumat daripada media tempatan dan bomba, turut terkorban ialah 12 penumpang bas yang terperangkap dalam kenderaan itu ketika kebakaran berlaku.

Kawasan paling terjejas ialah di wilayah El Tarf berhampiran sempadan bahagian timur Algeria dengan Tunisia apabila suhu di situ meningkat kepada 48 darjah Celsius akibat kebakaran terbabit.

Selain itu, 200 penduduk turut cedera akibat kebakaran itu apabila melecur dan mengalami masalah pernafasan.

Sehingga kini, pasukan bomba membabitkan seramai 1,700 anggota masih bertungkus lumus memadamkan kebakaran di mana terdapat 24 kawasan tompok panas yang apinya masih marak.

Menurut pegawai perubatan di El Kala, sehingga kini seramai 72 orang dimasukkan ke hospital di bandar itu, yang mana sembilan daripadanya meninggal dunia dan sembilan lagi ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Sebahagian penduduk yang kehilangan tempat kediaman menuduh pihak berkuasa kurang melakukan persediaan berdepan bencana itu, dengan beberapa pesawat sahaja dikerahkan untuk memadam kebakaran.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Algeria, Kamel Beldjoud, berkata kebakaran itu memusnahkan lebih 800 hektar hutan dan 1,800 hektar belantara sejak awal bulan ini selain turut mendakwa beberapa kebakaran itu sengaja dirancang.

Susulan itu, Kementerian Kehakiman melancarkan siasatan terhadap dakwaan terbabit.

Sementara itu, menurut seorang wartawan di El Tarf, dalam tempoh hanya beberapa saat ‘ribut api’ memusnahkan segala-galanya.

Semalam, Perdana Menteri, Aimene Benabderrahmane, mempertahankan tindakan kerajaan mengawal keadaan kebakaran itu dengan mengatakan bahawa negara sudah memesan empat pesawat pemadam kebakaran baharu, namun ia hanya akan diterima Disember ini.

Beliau berkata, angin kencang menyebabkan api bertambah marak, namun pihak berkuasa sudah mengerahkan segala kaedah untuk memadamkan api.

Angin selaju 90 kilometer sejam menyebabkan kerja memadamkan kebakaran menjadi sukar.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 90 penduduk maut apabila kira-kira 100,000 hektar hutan dan dusun di utara negara itu terbakar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.