Ekonomi UK dijangka meleset sepanjang 2023

Ekonomi UK dijangka meleset sepanjang 2023

PENDUDUK di United Kingdom bakal berdepan kemelesetan ekonomi sepanjang 2023 bermula penghujung tahun ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United KIngdom (UK) bakal berdepan kemelesetan ekonomi sepanjang tahun bermula penghujung 2022, sekali gus menjadi tempoh terpanjang sejak krisis kewangan yang melanda negara ini pada 2008.

Kadar inflasi diramal meningkat sehingga lebih 13 peratus susulan kenaikan harga gas dan bahan api menjelang musim sejuk tahun ini.

Perkara itu didedahkan oleh Bank of England, selain memaklumkan kadar faedah bank dinaikkan daripada 0.5 hingga 1.75 peratus, iaitu yang tertinggi sejak 1997.

Namun, pakar menjangkakan kenaikan kadar faedah itu boleh mencecah tiga peratus pada penghujung tahun ini.

Makanan, bahan api, gas dan beberapa barangan lain merekodkan kenaikan harga mendadak susulan pandemik Covid-19 dan peperangan di Ukraine, namun sesetengah pakar berpendapat, Bank of England ‘bertindak terlalu perlahan’ dalam mencegah negara ini daripada kemelesetan ekonomi.

Jelas bank tersebut, kenaikan harga tenaga akan mendorong negara ini mengalami kemelesetan ekonomi selama lima bulan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut setiap suku tahun pada 2023 dan jatuh sebanyak 2.1 peratus.

Selain itu, bank berkenaan turut meramalkan terdapat kemungkinan UK mencatatkan pertumbuhan sifar atau terlalu sedikit sehingga selepas 2025.

SALAHKAN RUSSIA

Gabenor Bank of England, Andrew Bailey meletakkan semua situasi buruk itu pada Russia yang dituduh menyebabkan kemelesetan ekonomi berlaku di seluruh dunia ketika ini.

“Harga tenaga meningkat hampir dua kali ganda sejak Mei lalu dan peningkatan itu tujuh kali ganda lebih tinggi daripada yang diramalkan setahun lalu.

“Ini semua disebabkan oleh sekatan bekalan gas oleh Russia ke Eropah,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.

INFLASI MENINGKAT

Indeks Inflasi Harga Pengguna bakal mencecah 13 peratus pada Oktober ini, yang tertinggi dalam tempoh lebih 42 tahun.

Jelas Bailey, tekanan inflasi domestik juga kekal kukuh, selain pasaran buruh semakin terjejas, menyaksikan kadar pengangguran meningkat 3.8 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Mei lepas.

“Keadaan ekonomi yang buruk bakal menyaksikan pendapatan isi rumah sebenar menurun selama dua tahun berturut-turut dengan kali pertama berlaku pada 1960-an.

“Pada tahun ini, pendapatan isi rumah akan turun sebanyak 1.5 hingga 2.25 peratus, sekali gus mengalang kenaikan gaji di semua sektor,” ujarnya.

KERAJAAN GAGAL

Parti Buruh mendakwa Perdana Menteri, Boris Johnson gagal menangani kenaikan kos sara hidup yang dialami rakyat ketika ini, malah tiada tindakan yang diambil untuk meredakan keadaan.

Menteri Perbendaharaan dari parti pembangkang, Abena Oppong-Asare berkata, banyak keluarga dan golongan pencek bimbang bagaimana mereka akan membayar bil keperluan, namun Johnson tidak mengambil sebarang langkah untuk menangani masalah berkenaan.

“Hakikatnya, Johnson dan Canselor Nadhim Zahawi boleh pergi bercuti sedangkan rakyat setiap hari memikirkan bagaimana mereka akan teruskan kehidupan dalam situasi sekarang,” kata Asare.

Pembangkang berharap Johnson dan Zahawi sekurang-kurangnya dapat menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dan mempunyai perancangan bagaimana untuk menyelesaikannya.

MATA WANG JATUH

Sementara itu, kadar mata wang pound jatuh 0.05 peratus lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat selepas Bank of England mengesahkan kenaikan kadar faedah.

Pound juga lebih rendah berbanding mata wang euro sebanyak 0.5 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.