BOGOTA: Dua wartawan maut ditembak oleh penyerang yang menaiki motosikal di Colombia, ketika mereka pulang dari membuat liputan di sebuah karnival.
Menurut polis, kedua-dua wartawan itu bekerja di portal Sol Digital yang berpangkalan di bandar utara Fundacion di pantai Caribbean.
Ketua Polis Jabatan Magdalena, Andres Serna berkata, mangsa dikenali sebagai Leiner Montero Ortega, 37, dan Dilia Contreras Cantillo, 39.
“Wartawan itu dalam perjalanan pulang ke Fundacion dari Santa Rosa de Lima selepas membuat liputan pesta jalanan di bandar itu sebelum penyerang menembak mereka,” katanya.
Beliau memberitahu seorang lagi mangsa cedera namun tidak menyatakan sama ada individu itu juga bekerja sebagai wartawan.
Polis berpandangan kejadian tembakan itu berpunca daripada pertikaian atau pertengkaran di karnival berkenaan.
Sementara itu, Yayasan Akhbar Bebas menggesa polis menyiasat kejadian tembakan tersebut dengan `mengambil kira tugas Leiner dan Dilia sebagai wartawan’ memandangkan ia mungkin berkaitan dengan kerjaya mangsa.
Jelas yayasan itu, seramai 768 wartawan di Colombia berdepan beberapa serangan termasuk pembunuhan pada tahun lalu. – AFP