TORONTO: Gara-gara tidak berpuas hati akibat dipecat oleh majikan, seorang pekerja binaan membalas dendam dengan memusnahkan beberapa rumah mewah di Muskoka Marina, Ontario menggunakan jengkaut.
Lapor Oddity Central, lelaki berusia 59 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dan dikenakan denda sebanyak AS$5,000 (RM22,283).
Satu video tular dalam media sosial menunjukkan lelaki itu menggunakan jengkaut untuk memusnahkan beberapa hartanah di Muskoka Marina, sebuah tempat percutian musim panas yang popular dalam kalangan orang kaya di Ontario.
Polis tiba di tempat kejadian sejurus selepas 9 malam (waktu tempatan) pada 21 Julai lalu dan menemukan ‘kerosakan teruk’ pada kediaman mewah di Tasik Rosseau di Perbandaran Tasik Muskoka namun tiada suspek dikesan.
Pelaku itu dikenal pasti selepas video yang dirakam penduduk tempatan menjadi tular di Twitter.
Lelaki itu dijangka hadir ke mahkamah dalam masa terdekat dan bakal berdepan hukuman penjara.
“Sungguh tidak percaya untuk sesuatu seperti itu berlaku, ia seperti kisah fiksyen.
“Kos kerosakan itu bernilai berjuta-juta,” kata pemilik Marina SWS Muskoka, Geordie Newlands.
Bagaimanapun, polis mahupun pemilik kediaman yang rosak itu enggan membuat spekulasi mengenai motif tertuduh.
Namun, rakaman video tular itu menunjukkan ia adalah kerja bekas pekerja yang tidak berpuas hati selepas dipecat.