'Bantulah kami, anak-anak kami mahu makan'

‘Bantulah kami, anak-anak kami mahu makan’

PASUKAN tentera Pakistan mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di wilayah Punjab. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan memohon melanjutkan permohonan bantuan komuniti antarabangsa selepas negara ini terjejas teruk akibat bencana banjir.

Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta beberapa negara lain sudah pun menyalurkan bantuan kepada Pakistan, namun negara ini memerlukan lebih banyak dana untuk memulihkan keadaan.

Lebih 1,000 penduduk dilaporkan maut akibat bencana alam itu dan jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal sejak Jun lalu.

Pegawai di Kementerian Dalam Negeri Pakistan, Salman Sufi memaklumkan, kerajaan sudah melakukan apa yang termampu untuk membantu penduduk yang terjejas.

Di barat laut negara ini, ribuan penduduk meninggalkan rumah masing-masing selepas sejumlah sungai di wilayah Khyber Pakhtunkhwa melimpah, menyebabkan banjir kilat yang besar.

Seorang penduduk, Junaid Khan memberitahu, banyak rumah tenggelam dan musnah begitu sahaja, selain mereka hanya mampu melihat.

Dalam pada itu, Salman menegaskan, Pakistan amat terdesak memerlukan bantuan serta sokongan antarabangsa.

“Negara ini sudah pun bergelut dengan krisis ekonomi dan apabila kami sudah hampir menyelesaikan masalah itu, bencana banjir pula menimpa.

“Banyak dana yang diperuntukkan untuk projek pembangunan diagihkan kepada masyarakat yang terjejas ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, antara bantuan kritikal yang diperlukan penduduk Pakistan termasuk bekalan makanan dan air bersih.

Kebanyakan penduduk mengharapkan mereka mendapat bekalan makanan segera memandangkan banyak harta benda mereka musnah, selain kawasan tanaman juga ditenggelami banjir.

“Bantulah kami, kami mahu makan, anak-anak kami semua kelaparan,” rintih mereka. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN