WELLINGTON: Beratus-ratus keluarga di Pulau Selatan New Zealand terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas banjir yang menyebabkan darurat diisytiharkan di tiga wilayah.
Ribut tropika dengan hujan lebih daripada 30 sentimeter di bahagian Pulau Selatan, menyebabkan tebing sungai pecah.
Cuaca ekstrim itu juga menyebabkan pokok tumbang, menyebabkan laluan jalan utama terhalang.
Darurat diisytiharkan semalam di Buller, di pantai barat pulau itu dan di Nelson yang mana 233 penduduk dipindahkan selepas hujan 15 jam selepas hampir sebulan tidak hujan.
Datuk Bandar, Rachel Reese menyifatkan banjir kilat itu sebagai ‘peristiwa satu dalam 100 tahun’ ketika pasukan mencari dan menyelamat, serta anggota tentera, membantu orang ramai yang hampir tenggelam di jalan.
Beliau memberi amaran kepada penduduk tempatan semua air tercemar, kerana beberapa pembetungan pecah dan rosak.
Seorang penduduk Nelson, Sam Lagrutta berkata, keadaan itu ‘menakutkan’ selepas polis memintanya meninggalkan rumahnya dalam masa lima minit.
“Saya betul-betul hanya sempat mengambil beg tangan dan memasukkan pasport, dompet, dan apa sahaja yang penting yang boleh saya temui,” katanya kepada New Zealand Herald.
Sejumlah 160 isi rumah di sepanjang pantai barat Pulau Selatan itu juga diminta berpindah.
Buller dilanda banjir berulang dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan Datuk Bandar, Jamie Cleine berkata pemindahan yang kerap menyebabkan masyarakat sudah bersiap sedia untuk menghadapi kesan yang lebih teruk akibat banjir.
“Ia amat merisaukan orang dari segi kewangan dan mental. Ini adalah realiti kami hadapi sehingga penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan,” katanya kepada portal berita, Stuff.
Menteri Pengurusan Kecemasan, Kieran McAnulty dijangka melawat Nelson hari ini dan lebih banyak hujan lebat dijangka melanda kawasan itu.
Pulau Utara juga telah terjejas, dengan tiga orang cedera dalam kemalangan kereta di Northland selepas pokok tumbang di Lebuhraya Negeri 1.
Musim sejuk yang lembap berterusan selepas New Zealand dibelenggu keadaan paling lembap yang pernah direkod pada Julai lalu.
Sebelum kerosakan boleh dibaiki, syarikat insurans terbesar New Zealand IAG memberi amaran pembinaan bangunan di kawasan yang terdedah kepada banjir mesti dihentikan.
Perubahan iklim memberi impak yang besar kepada sektor insurans apabila berlakunya 10 banjir besar dalam tempoh dua tahun lalu yang menyebabkan jumlah kerugian sekitar $400 juta (AS$251,260/RM1.12 juta), kata syarikat insurans itu.
Kira-kira satu peratus daripada rumah di New Zealand atau 20,000 hartanah berisiko dilanda banjir. – AFP











