ASEAN: Isu lawatan Pelosi ke Taiwan, turut dibincangkan - Utusan Malaysia

ASEAN: Isu lawatan Pelosi ke Taiwan, turut dibincangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Menteri-menteri Luar ASEAN akan mencari jalan untuk membantu meredakan ketegangan diplomatik terhadap Taiwan berikutan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke negara itu.

Lawatan Pelosi ke Taiwan mencetuskan kemarahan China yang menuntut Taiwan sebagai ‘sebahagian wilayahnya yang terpisah’.

Isu kunjungan Pelosi ke Taipei, yang berdepan bantahan dan ancaman tindakan ketenteraan oleh China, akan turut menjadi fokus pada mesyuarat ASEAN di Phnom Penh yang dijangka memberi tumpuan terhadap krisis berdarah di Myanmar.

Tumpuan juga akan diberikan terhadap Menteri Luar China, Wang Yi serta rakan sejawat dari AS, Antony Blinken yang hadir ke Phnom Penh untuk rundingan keselamatan serantau dengan ASEAN.

Jurucakap ASEAN yang juga Timbalan Menteri Luar Kemboja, Kung Phoak berkata, mesyuarat itu akan berusaha membantu meredakan ketegangan berkenaan.

Katanya, para menteri luar ASEAN akan cuba mencari jalan membantu supaya keadaan di Taiwan stabil.

“Langkah itu amat penting agar tidak menjurus kepada konflik dan tidak meningkatkan ketegangan politik antara semua pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita.

China berikrar untuk melancarkan siri operasi ketenteraan bersasar sebagai tindak balas kepada lawatan Pelosi ke Taiwan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN