YANGON: Seorang lelaki Jepun ditahan di ibu kota komersial Myanmar, warga asing terbaharu yang terjerat di negara diperintah junta tentera.
Penahanan lelaki itu disahkan oleh seorang pegawai di kedutaan Jepun.
Semalam, media Jepun dan tempatan melaporkan pembikin filem, Toru Kubota, 26, ditahan berhampiran perhimpunan antikerajaan bersama dua warga Myanmar.
“Saya boleh mengesahkan seorang warga Jepun ditahan semalam di Yangon,” kata pegawai di kedutaan Jepun yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Kedutaan sedang `berhubung dengan pihak berkuasa dan mengambil langkah untuk memastikan individu itu dibebaskan’.
Pegawai Jepun, yang tidak mengesahkan identiti individu ditahan itu, berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat sama ada dia ditahan semasa protes.
Menurut kumpulan pemantau tempatan, rampasan kuasa tentera pada tahun lalu mencetuskan protes berterusan dan tindakan kekerasan daripada junta, dengan lebih 2,000 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 14,000 ditahan.
Sekumpulan kecil individu berhimpun di luar kementerian luar Jepun di Tokyo dengan memegang sepanduk gambar Kubota.
Beberapa warga asing ditahan dalam tindakan kekerasan tentera terhadap perbezaan pendapat sejak melakukan rampasan kuasa.
Tahun lalu, pembikin filem Jepun, Yuki Kitazumi ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar semasa membuat liputan selepas rampasan kuasa itu.
Di bawah tekanan antarabangsa, dia dibebaskan dan kembali ke Jepun pada Mei 2021.
Sementara itu, Kitazumi mengkritik penahanan Kubota dan berharap agar dia dibebaskan dengan segera. – AFP