KYIV: Kementerian Pertahanan Ukraine menggesa rakyatnya berada di kawasan yang dikepung Russia, untuk tampil mendedahkan maklumat mengenai tempat tinggal tentera Moscow.
Lapor Al Jazeera, kementerian turut menggesa warga Ukraine mendedahkan penduduk tempatan yang bekerjasama dengan pasukan tentera Russia.
Gesaan dibuat oleh Pengarah Perisikan merujuk kepada penduduk yang berada di dan sekitar bandar selatan Enerhodar.
“Sila maklumkan dengan segera lokasi sebenar pangkalan tentera dan tempat kediaman anggota yang mengepung kawasan ini.
“Kami juga mahu maklumat mengenai penduduk tempatan yang bekerjasama dengan pihak musuh, termasuk alamat kediaman, tempat bekerja dan butiran mengenai individu bersimpati dengan penjajah,” jelasnya.
Dilaporkan, Russia menawan Enerhodar pada awal Mac dan Mei lalu.
Ketua bandar yang dilantik Russia, cedera dalam satu letupan dan Kremlin menyifatkan kejadian itu sebagai `serangan pengganas’.
Kenyataan pengarah perisikan disiarkan di Telegram turut meminta laluan digunakan tentera Russia di Enerhodar.
Enerhodar mempunyai populasi lebih 50,000 penduduk sebelum operasi ketenteraan.
Ramai penduduk bekerja di dua loji janakuasa berhampiran bandar, antaranya kemudahan di Zaporizhzhia, stesen janakuasa nuklear terbesar di Eropah.
Sementara itu, gabenor wilayah Pavlo Kyrylenko berkata, serangan Russia menyebabkan dua orang awam maut dan dua lagi cedera di wilayah Donetsk.
Kyrylenko berkata, seorang penduduk maut di bandar Avdiivka dan seorang lagi di Toretsk.
Katanya, pengangkutan terjejas di bandar perindustrian Kostyantynivka.