WASHINGTON: Twitter Inc mengecam Elon Musk, dengan mendakwa individu paling kaya di dunia itu `sedar’ sudah melanggar perjanjian pembelian syarikat media sosial tersebut.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc berusaha menarik diri daripada bidaan pengambilalihan syarikat bernilai AS$44 bilion (RM195.2 bilion).
Lapor Al Jazeera, dalam satu surat dikemukakan kepada Musk, Twitter menegaskan pihaknya tidak melanggar syarat di bawah perjanjian penggabungan itu sepertimana didakwa oleh Musk pada Jumaat lalu kerana mahu menggugurkan rancangan pengambilalihan.
Sebaliknya, syarikat media sosial itu mendakwa Musk `sedar dan secara sengaja’ melanggar perjanjian berkenaan.
Twitter Inc menerusi surat itu menegaskan perjanjian itu tidak ditamatkan.
“Twitter menuntut Musk dan pihak berkaitan mematuhi syarat di bawah perjanjian itu termasuk melaksanakan tanggungjawab mereka untuk melakukan urus niaga yang dipertimbangkan dalam perjanjian,” jelas syarikat itu.
Sementara itu, Reuters melaporkan, Twitter bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Musk bagi memaksanya menyelesaikan perjanjian itu.
“Twitter merancang untuk memfailkan tuntutan mahkamah di Delware pada minggu ini,” jelas sumber.
Saham Twitter dilaporkan menjunam hari ini selepas Elon Musk mengumumkan untuk menarik diri daripada bidaan pengambilalihan.
Saham media sosial itu ditutup susut 11.3 peratus pada AS$32.65 (RM144.86) dalam sesi pertama.










