KENTUCKY: Tiga anggota polis ditembak mati di Kentucky ketika cuba menahan seorang lelaki yang dituduh melakukan keganasan domestik.
Sherif Daerah Floyd, John Hunt berkata, pasukan polis berdepan ‘detik sukar’ ketika mereka tiba di kediaman suspek.
Katanya, suspek berusia 49 tahun itu sudah ditangkap selepas insiden tembakan tersebut.
Selain itu, empat lagi anggota polis turut cedera dalam insiden yang berlaku di Allen, iaitu sebuah pekan kecil yang terletak di timur Kentucky dengan populasi seramai 166 orang.
Tiga anggota polis yang terkorban dikenal pasti sebagai Ralp Frasure, William Petry dan Jacob Chaffins, selain seekor anjing polis turut maut.
“Suspek melepaskan tembakan menggunakan senapan secara bertubi-tubi apabila pasukan polis tiba di rumahnya.
“Polis kemudiannya melepaskan tembakan balas dan aksi itu berlangsung selama tiga jam sebelum suspek, Lance Storz ditahan.
“Suspek menyerah diri selepas berunding dengan polis dan insiden itu menyaksikan tiga anggota kami terkorban,” kata Hunt seperti yang dilapor BBC.
Dalam pada itu, suspek berdepan dengan beberapa pertuduhan termasuk membunuh anggota polis, cubaan membunuh dan serangan ganas.
Sementara itu, polis Kentucky akan meneruskan siasatan mengenai insiden tembakan berkenaan.