COPENHAGEN: Polis Denmark memaklumkan, suspek berusia 22 tahun yang ditahan selepas melepaskan tembakan di dalam sebuah pusat beli belah di sini mempunyai sejarah penyakit mental.
Ketua Polis Copenhagen, Soren Thomassen dalam sidang akhbar memberitahu, suspek pernah mendapatkan rawatan penyakit mental sebelum ini.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Thomassen memberitahu, mangsa yang terkorban menjadi sasaran rambang suspek dan insiden tersebut tidak dikaitkan dengan serangan keganasan.
Polis turut memaklumkan, sejumlah video berkaitan kejadian itu yang dikongsi dalam media sosial adalah sahih.
Kejadian itu menyaksikan tiga orang maut yang dikenal pasti sebagai dua warga Denmark, lelaki dan wanita yang kedua-duanya berusia 17 tahun dan penduduk yang berasal dari Russia berusia 47 tahun.
Empat lagi yang cedera dalam insiden itu melibatkan dua wanita Denmark dan dua rakyat Sweden.
Insiden tembakan itu berlaku tengah hari semalam di pusat membeli-belah Fields yang terletak antara pusat bandar dan lapangan terbang Copenhagen.
Ketika tembakan dilepaskan, para pengunjung dilihat lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.
Ibu bapa pula dilihat mendukung anak-anak mereka sambil berlari bagi mendapatkan perlindungan. – AFP