LONDON: Dua calon terakhir dari Konservatif kini tampil menyuarakan pandangan masing-masing kepada ahli parti yang akan menentukan pengganti Boris Johnson dalam beberapa minggu lagi.
Lapor BBC, Rishi Sunak dan Liz Truss mendahului pusingan terakhir undian oleh Ahli Parlimen Konservatif dalam pemilihan perdana menteri Britain yang baharu.
Sunak dalam laporan Daily Telegraph menyatakan beliau akan membawa `beberapa pembaharuan yang radikal sepertimana dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri, Margaret Thatcher pada 1980-an’ sekiranya dipilih.
Truss pula dalam laporan Daily Mail, menjanjikan untuk memperkenalkan dasar Konservatif mesra perniagaan yang merangkumi pemotongan cukai dan menggalakan perusahaan.
Kedua-dua pemimpin itu muncul sebagai calon terakhir selepas Truss berjaya menyingkirkan Menteri Perdagangan, Penny Mordaunt dengan menang tipis dalam undian tersebut.
Sunak mendahului dengan 137 undi dalam pusingan undian kelima dan terakhir.
Truss yang juga Menteri Luar memperolehi 113 undi berbanding Mordaunt yang mendapat 105 undi.
Satu tinjauan pendapat menunjukkan Sunak kurang popular dalam kalangan ahli Parti Konservatif yang akan mengundi calon pilihan mereka pada bulan depan.
Kedua-dua calon itu kini akan berkempen dengan sesi pertama dijadualkan bermula pada 28 Julai di Leeds dan terakhir pada 31 Ogos depan di London.
BBC dan Sky News merancang untuk menganjurkan debat secara langsung membabitkan Sunak dan Truss masing-masing pada 25 Julai dan 4 Ogos.
Kira-kira 160,000 ahli parti akan mengundi secara dalam talian atau pos.
Undian tersebut dijangka diterima pada 5 Ogos dan keputusan akhir akan diumumkan pada 5 September depan.