KYIV: Angka kematian akibat serangan udara Russia yang meruntuhkan sebuah bangunan kediaman di Chasiv Yar di wilayah Donetsk, meningkat kepada 34 orang.
Memetik laporan Al Jazeera, Perkhidmatan Kecemasan Ukraine memaklumkan antara mangsa terkorban merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
Kelmarin, roket Uragan Russia membedil sebuah blok pangsapuri lima tingkat di wilayah Donetsk menyebabkan sebahagian bangunan berkenaan runtuh.
Menurut Gabenor Pavlo Kyrylenko, setakat ini, pasukan penyelamat sudah menemukan 34 mayat dan menyelamatkan sembilan mangsa yang cedera dalam kejadian itu.
Jelasnya, setakat hari ini, pekerja perkhidmatan kecemasan juga telah membersihkan kira-kira 70 peratus runtuhan dan operasi menyelamat masih sedang dijalankan.
“Russia perlu bertanggungjawab untuk setiap nyawa yang terkorban dan harta benda yang musnah dalam kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Gabenor wilayah, Vitaliy Kim berkata, sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam serangan peluru berpandu di bandar pelabuhan Mykolaiv pagi tadi.
Kim menyifatkan kejadian itu sebagai `serangan roket besar-besaran’ serta memaklumkan dua institusi perubatan dan beberapa bangunan kediaman turut terkena.