KYIV: Tentera Russia meningkatkan serangan udara ke atas penempatan di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
Lapor Al Jazeera, pihak berkuasa memaklumkan Russia melancarkan serangan udara berterusan di bandar Bakhmut, kramatorsk, Chasiv Yar, Sloviansk dan Kostyantynivka serta perkampungan sekitarnya.
Memetik laporan agensi berita Anadolu, serangan peluru berpandu yang menyasarkan Bakhmut, kramatorsk dan Kostyantynivka pada minggu lalu memusnahkan sekolah, kediaman, premis perniagaan, pasar, kawasan perindustrian dan kemudahan lain di wilayah itu.
Polis Bakhmut, Mejar Pavlo Diachenko berkata, beberapa letupan baharu berlaku di Bakhmut, kramatorsk dan Kostyantynivka pada malam Ahad dan Isnin.
Katanya, serangan udara ke atas penempatan dan bangunan awam di bawah kawalan tentera Ukraine juga meningkat sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Aleksander Senkevich memberitahu tentera Russia melancarkan serangan ke atas kemudahan pelabuhan di wilayah Mykolaiv selatan Ukraine.
“Serangan peluru berpandu besar-besaran dilancarkan di selatan Ukraine dari arah Laut Hitam, dengan menggunakan pesawat,” katanya dalam saluran televisyen negara.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai kesan serangan selepas insiden itu.